Thursday, November 10, 2011

ERTI SAHABAT

carilah seorang yang benar-benar ikhlas berkawan dan bersahabat
dengan kita. Tak rugi kerana bila ada sahabat yang baik, waktu senang dan susah
kita pun, dia pasti akan menolong. Sama seperti kisah yang aku akan sampaikan di
bawah ni.

Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti Allah memerintahkan
dua orang hamba hadir mengadapNya. Seorang adalah hamba yang taat kepada
perintah Allah dan seorang lagi hamba yang derhaka kepada Allah. Kedua-duanya
mati dalam keadaan beriman. Lalu Allah menyuruh malaikat Ridhwan membawa orang
yang taat itu ke syurga dan memuliakannya dengan firman Allah, “Aku merelakan
dia”.

Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Zabaniyah membawa yang seorang lagi
ke neraka dan Allah memerintahkannya disiksa dengan siksaan yang amat pedih.
Firman Allah, “Sesungguhnya orang ini adalah peminum arak”.
Orang yang taat kepada Allah sangat gembira kerana dia telah dapat masuk ke
syurga dengan rahmat Allah. Apabila orang itu hendak menjejakkan kakinya ke
pintu syurga maka dia mendengar suara sahabatnya yang diheret ke neraka itu
berkata, “Wahai sahabatku, wahai temanku, kasihanilah aku dan berikanlah aku
pertolongan”.

Apabila orang itu mendengar rayuan sahabatnya, maka dia tidak mahu masuk ke
dalam syurga. Malaikat Ridhwan berkata kepadanya, “Masuklah ke syurga dengan
rahmat Allah”. Orang itu berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga, bawalah aku ke
neraka”. Malaikat Ridhwan menjawab, “Aku tak dapat membawa kamu ke neraka sebab
Allah telah memerintahkan aku membawa kamu ke syurga dan melayani kamu”.
Orang itu tetap berdegil dan berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga dan tak mahu
juga layananmu”. Setelah itu kedengaran suara yang berkata, “Wahai Ridhwan, Aku
maha mengetahui apa-apa yang ada di dalam hatinya, namun demikian tanyalah
kepadanya sendiri dan kamu akan mengetahui sebabnya”. Lalu malaikat Ridhwan
bertanya, “Kenapakah kamu tidak mahu masuk ke syurga dan mengapakah kamu ingin
ke neraka”?

Orang itu menjawab, “Aku tak mahu ke syurga sebab orang yang derhaka kepada
Allah itu telah diputuskan masuk ke neraka. Dahulunya aku dan dia bersahabat
baik di dunia dan dia telah meminta pertolongan dariku supaya selamatkannya dari
api neraka. Oleh kerana aku tiada kuasa untuk berbuat demikian, maka aku fikir
lebih baik aku juga masuk ke neraka supaya sama-sama disiksa di dalamnya”.
Kemudian kedengaran seruan Allah yang maha memberi rahmat berfirman, “Wahai
hambaKu, kamu dengan kelemahanmu tidak suka melihat sahabatmu itu masuk ke
neraka kerana dia telah berkenalan denganmu di dunia hanya sebentar dan dia
mengetahuimu dan menemanimu hanya beberapa hari saja. Maka bagaimanakah Aku
merelakan kamu masuk ke neraka sedangkan kamu telah mengetahui Aku selama umurmu
dan telah menjadikan Aku sebagai tuhanmu selama 70 tahun. Oleh itu pergilah kamu
ke dalam syurga bersama sahabatmu itu dan Aku telah mengampuninya dan Aku
serahkan dia kepada kamu”.

No comments:

Post a Comment